Pesta Liar Port Dickson

Pesta liar - 15 muda-mudi ditahan, 11 positif ganja


 photo pesta-liar-dadah-port-dickson-pd_zpsfabvuegw.jpg
Muka depan Kosmo! edisi 10-06-2015

PORT DICKSON - Tindakan sekumpulan muda-mudi menyewa sebuah rumah inap desa di daerah ini untuk mengadakan pesta liar sambil melepaskan gian memakan diri apabila mereka ditahan apabila premis di Batu 2 di sini itu diserbu pihak polis kelmarin.

Operasi pada pukul 2 petang itu dilakukan oleh sepasukan polis dari bahagian narkotik Ibu Pejabat Polis (IPD) Port Dickson selepas menerima aduan daripada orang awam mengenai bunyi bising di rumah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Baharudin Mustapha berkata, semasa diserbu mereka yang terdiri daripada 11 lelaki dan 4 wanita berusia 18 hingga 34 tahun itu sedang leka menari dengan iringan muzik yang kuat.

"Sebahagian daripada mereka dalam keadaan khayal dipercayai mengambil dadah. Pemeriksaan lanjut, kita turut menemui sejumlah ketulan mampat disyaki ganja, tin minuman keras dan alat pembesar suara," katanya ketika dihubungi di sini semalam. 

Difahamkan, mereka yang tinggal di sekitar Lembah Klang itu datang dan bermalam di daerah ini sejak Ahad lalu. 

9 daripadanya bekerja di sektor swasta manakala bakinya adalah penganggur. 

Menurut Baharudin, kesemua yang ditahan dibawa ke IPD Port Dickson untuk tindakan lanjut termasuk ujian air kencing. 

"Setakat ini seramai 11 orang didapati positif ganja," kata beliau sambil memberitahu kesemuanya direman selama 4 hari bermula semalam bagi membantu siasatan. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952    

Sumber : Kosmo! Edisi 10 Jun 2015 bersamaan 23 Syaaban 1436H 
 

No comments: