Sabah Bergegar Dilanda Gempa Bumi

Gempa Bumi Terkuat Di Malaysia!

Berlaku selama 15 saat dengan gegaran dapat dirasai di 12 buah bandar di Sabah

 photo gempa-terkuat-gegar-Sabah-Malaysia_zpsjkx5tlgs.jpg
Muka depan Kosmo! edisi 06-06-2015

KOTA KINABALU – Suasana tenang pada awal pagi di kebanyakan daerah di negeri ini bertukar menjadi kelam-kabut apabila gempa bumi yang berpusat di Kundasang, Ranau dekat sini berlaku selama 15 saat pada pukul 7.15 pagi semalam.

Gempa bumi sederhana yang berpusat kira-kira 16 kilometer (km) dari Ranau itu menggegarkan 12 buah bandar lain selain turut merosakkan pelbagai kemudahan awam dan harta benda.

Gempa bumi itu juga menyebabkan 137 pendaki dikenal pasti terperangkap di Gunung Kinabalu.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, lokasi kesemua mereka telah dikenal pasti, dan usaha membawa turun pendaki terbabit ke Laban Rata, sedang giat dilakukan dengan kerjasama 32 malim gunung atau pemandu pelancong.

Beliau berkata, sebanyak 10 pendaki cedera dalam kejadian itu.

Sementara itu, seorang saksi berkata, dua mayat dipercayai mangsa kejadian gempa bumi itu telah dibawa turun oleh pasukan penyelamat ke Timpohan Gate oleh pasukan penyelamat. 

Bagaimanapun, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar ketika dihubungi Kosmo! menafikan dakwaan itu. 

Ketika menceritakan detik-detik cemas gempa bumi itu, seorang penduduk Ranau, Johari Abdullah, 45, berkata, gegaran kuat itu menyebabkan dinding dan kubah Masjid Ar-Rahman, Ranau rosak. 

 photo masjid-Ar-Rahman-Ranau-gempa-Sabah-Malaysia_zpsovejawsm.jpg
Sebahagian bumbung Masjid Ar-Rahman di Ranau runtuh selepas gempa bumi menggegar negeri Sabah semalam.

"Bunyi bising dapat kedengaran apabila orang ramai mula panik dan bertempiaran lari menyelamatkan diri," katanya di sini semalam. 

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Datuk Che Gayah Ismail turut menyifatkan gempa bumi sederhana dengan kekuatan 5.9 pada skala Richter yang melanda Ranau itu adalah yang paling kuat pernah direkodkan di negara ini. 

Gegaran dikaitkan dengan aksi pelancong asing berbogel di Gunung Kinabalu

KOTA KINABALU – Kejadian gempa bumi dengan kekuatan 5.9 pada skala Richter yang berpusat kira-kira 16 kilometer dari barat laut Ranau dekat sini semalam didakwa oleh penduduk tempatan berpunca daripada ‘sumpahan penunggu gunung.’

Menurut mereka, perbuatan sekumpulan pelancong Eropah yang berbogel dalam keadaan berdiri di puncak Gunung Kinabalu itu pada 31 Mei lalu telah melanggar kesucian gunung tersebut.

Secara tradisinya, perkataan Kinabalu itu sendiri pada asalnya merupakan perkataan kaum Kadazan Dusun yang dicampurkan antara perkataan Aki Nabalu.

Aki membawa maksud nenek mo­yang, manakala Nabalu pula bermaksud gunung.


 photo malim-gunung-Kinabalu-Sabah-Malaysia-Junaidi-Sihan_zpsfgarwx05.jpg

Seorang malim gunung, Junaidi Sihan (gambar), 37, berkata, adalah menjadi kewajipan kepada setiap pelancong menghormati pantang larang ketika mendaki gunung tersebut.

Katanya, pengunjung tidak boleh bercakap besar, memetik tumbuhan atau mengambil batu daripada persekitaran gunung serta jangan menegur sekiranya melihat sesuatu (mahkluk halus).

“Mereka (10 pendaki Eropah) itu telah berbogel dan sudah pasti perbuatan tidak senonoh itu telah me­langgar tatatusila ketika berada di gunung,” katanya ketika ditemui sebelum misi mencari dan menyelamat bersama 73 malim yang lain di Gunung Kinabalu semalam.

Sementara itu, seorang penduduk tempatan, Sapirin Sumping, 35, apa yang berlaku (gempa bumi) di Gunung Kinabalu itu mungkin sebagai satu peringatan kepada para pendaki agar sentiasa menghormati kesucian gunung itu.


Sumber : Kosmo! Edisi 06-06-2015 bersamaan 19 Syaaban 1436H

No comments: